Pages

Sejarah Majlis Belia Felda Malaysia MBFM

on Ahad, 4 Mac 2012

Setelah FELDA diwujudkan pada 1 Julai 1956, pelbagai pertubuhan belia wujud di dalam rancangan FELDA seperti Persatuan Belia Felda, Gerakan Belia 4B, MAYC, HYO dan lain-lain.Pada tahun 1969, Gabungan Persatuan Belia Felda Wilayah Selatan (PBFWS) ditubuhkan. Pada tahun 1975 ianya ditukar nama kepada Majlis Belia Felda Kawasan Selatan dan diterima menjadi Ahli Bersekutu atau badan gabungan Majlis Belia Malaysia.

Pada tahun 1977 satu perjumpaan para belia Felda telah diadakan di Wisma YMCA Kuala Lumpur bertujuan menubuhkan Majlis Belia Felda Kebangsaan bagaimanapun ianya gagal berfungsi. Pada 27 Oktober 1980 Felda mengatur satu perjumpaan untuk membentuk Gerakan Persatuan Belia Felda Kebangsaan di Institut Pembangunan Tanah FELDA (INPUT) Trolak, bagaimanapun ianya turut menemui kegagalan dan usaha-usaha kearah menwujudkan semula Majlis Belia Felda terus dilaksanakan.Pada April 1988, satu perjumpaan khas belia Felda telah diadakan di Johor Bahru bagi membincangkan penubuhan Majlis Belia Felda Kebangsaan telah diadakan. Lanjutan dari usaha tersebut, satu mesyuarat penaja penubuhan telah diadakan pada Julai 1988 di Asrama Semai Bakti FELDA, Kuala Lumpur.

MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA telah ditubuhkan dengan rasmi dan didaftarkan pada 7 Ogos 1991 dengan keahlian seramai 59,836 orang. Mesyuarat Agung Kali Pertama telah diadakan pada 9 Oktober 1991 di Institut Pembangunan Tanah FELDA (INPUT) yang disempurnakan oleh YB Encik Yassin Kamari, Timbalan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar Malaysia.

MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA ditubuhkan dan didaftarkan pada 7 Ogos 1991 dengan hasrat untuk menjadi sebuah badan penyelaras persatuan-persatuan belia Felda di Malaysia. Penubuhan MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA juga selari dengan hasrat kerajaan untuk melihat generasi kedua Felda proaktif menghadapi cabaran dalam era globalisasi.

MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA amat komited terhadap rancangan yang disebutkan di atas dan oleh itu kami akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan keupayan kami dalam bidang yang diceburi ini. Dengan berbekalkan kepada keyakinan yang tinggi dan diurus tadbir oleh mereka yang berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi sudah tentu akan menjadikan Majlis Belia Felda Malaysia sebuah pertubuhan belia yang mampu bersaing dengan pertubuhan belia lain yang sedia ada.

sumber

{ 0 ulasan... read them below or add one }

 
© Majlis Belia Felda Malaysia Palong 5 | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO